UCAPAN YB AHLI PARLIMEN MARANG
PEMBENTANGAN USUL RANG UNDANG-UNDANG AKTA355
Mukadimah
Terima kasih Tan Sri Yang Di Pertua Dewan Rakyat,
Saya
mohon untuk menyambung serta menghuraikan Usul yang telah saya
bentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) yang dibaca bersama
Peraturan Mesyuarat 28,
Peraturan-peraturan
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di persidangan Dewan Rakyat pada 24
November 2016 yang lalu di Dewan Yang Mulia ini.
Tan Sri Yang di-Pertua, dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat Anggota Dewan Rakyat :
1.
Saya berdiri pada hari ini sebagai anggota Dewan Rakyat yang dipilih
oleh rakyat, dalam ruang lingkup tugas saya untuk membawa suatu Rang
Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, yang dibenarkan oleh
sistem demokrasi berparlimen yang di amalkan dalam negara kita
sebagaimana mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1).
2.
Saya ingin mengajak anggota Dewan pada hari ini supaya mendengar dengan
deria yang terbuka, membaca dengan mata hati yang tulus, berfikir
dengan penuh kematangan dan tanpa prejudis terhadap pembentangan saya
ini, kerana itulah sifat yang sepatutnya kita miliki sebagai warga
negara dan anggota Dewan yang bertamadun. Sikap berfikir secara
berlais-lapis sehingga menimbulkan prasangka karut melampau-lampau
adalah tidak bagus diamalkan terutamanya dalam Dewan yang mulia ini.
3.
Saya mengambil tanggungjawab ini adalah bertepatan dengan titah Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan
Muhammad V, dalam Pembukaan Penggal Parlimen, di Mesyuarat Pertama,
Penggal Kelima, Parlimen Ketiga Belas, pada Isnin 6 Mac 2017 dengan
titah :
“Sebagai
sebuah negara yang mengamalkan prinsip wasatiyyah, atau kesederhanaan,
Beta menyokong segala inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur
penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani
dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang
dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada
Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan
termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama
Islam.”
4.
Manakala titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14 dalam
Pembukaan Penggal Parlimen di Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat,
Parlimen Ketiga Belas pada 7 Mac 2016 pula mengandungi titah :
“Beta
menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama
Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan
dengan bebas dan damai dinegara ini.Beta berharap langkah-langkah kearah
memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang
pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat
disegerakan”.
5. Saya terpanggil untuk
menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 (1)
menyatakan: “Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
Bahagian Persekutuan”.
6. Kita sepatutnya
hendaklah memerdekakan fikiran kita daripada Suruhanjaya Reid yang
mentafsirkan perlembagaan yang membataskan Islam dalam hal-hal yang
tertentu dan tidak menjayakan Islam sebagai agama yang sempurna, lengkap
dan boleh menyelesaikan masalah. Mereka menafsirkan Islam daripada
perkataan “Religion” dalam bahasa Inggeris, tafsiran yang tidak berpijak
dengan bahasa asal Islam daripada perkataan al-Din yang memberi makna
yang menyeluruh.
7. Kita mestilah mentafsirkan
Islam yang bukan hanya kepercayaan dan upacara agama atau urusan
individu semata-mata, bahkan Islam adalah cara hidup yang lengkap
termasuk semua bidang amalan manusia, samada peribadi, kemasyarakatan,
perundangan, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral, kehakiman,
tadbir - urus dan cara hidup serta akhlak berpandukan wahyu dari Allah
yang terdapat dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW.
8. Dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan:
Fasal
1; “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya
dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”, dan
Fasal
3;“Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak: (a) menguruskan hal ehwal
agamanya sendiri; (b) menubuh dan menyenggara institusi-institusi bagi
maksud-maksud agama atau khairat.”,
Fasal
4; “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan,
undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan
apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti
agama Islam.”
9.
Dari peruntukan ini amatlah jelas bahawa orang-orang Islam berhak
menganuti dan mengamalkan agamanya. Di sini jelas menunjukkan bahawa
wujudnya
keperluan
untuk urusan agama Islam ditadbir oleh orang Islam dan tidak mencampuri
agama lain berdasarkan prinsip keadilan dan kemakmuran. Manakala orang
bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka tanpa menggugat kedamaian
negara, di masa yang sama tidak mengganggu-gugat amalan agama bagi orang
Islam dalam negara kita ini.
10.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang bukan Islam bebas beragama
ketika Islam memerintah dan berkuasa pada zaman kegemilangannya.
Peperangan berlaku pada awal penaklukan kerana Islam ditentang hebat
dengan kekerasan bersenjata dan kebebasan dakwahnya diganggu-gugat oleh
pihak musuh.
11.
Selepas musuh berjaya dikalahkan, negeri-negeri yang bukan Islam
dibebaskan daripada kerajaan yang zalim sebelumnya. Rakyatnya yang ada
di dalam negara tidak dipaksa menganut Islam, harta benda mereka tidak
dirampas, rumah ibadat tidak dirobohkan, cara hidup mereka tidak
diganggu, bahkan mereka dilayan dengan adil, lebih baik daripada
pemerintah yang se bangsa dengan mereka.
12.
Tidak ada sebarang paksaan walaupun pada masa itu kekuatan bala tentera
boleh digunakan untuk kekerasan dan paksaan. Al-Quran, hadis-hadis
Rasulullah SAW dan para sahabat yang memerintah pada masa itu sentiasa
berpesan dalam perkara ini. Lihatlah contoh-contoh yang ditunjukkan oleh
penguasa yang adil dan berpegang kepada ajaran Islam yang tulen,
bukannya yang menjadikan Islam sebagai tempelan semata-mata. Hakikat ini
disedari oleh orang yang mengkaji sejarahnya dengan jujur, penuh
kesedaran, beretika dan berdisiplin.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
Sejarah Akta 355
13.
Saya mendengar ada kalangan di luar sana yang cuba berhujah bahawa
pindaan Akta 355 adalah tidak sah dari sudut perlembagaan kerana urusan
agama Islam adalah di bawah kuasa negeri. Memang benar dari satu sudut
bahawa urusan agama Islam adalah urusan negeri, terletak di bawah kuasa
negeri, dengan Badan Perundangan sebagai penggubal undang-undang
berkaitan Islam dan Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam.
14.
Izinkanlah saya menjelaskan secara ringkas bahawa berikutan daripada
kedudukan Islam adalah sebahagian daripada urusan bagi negeri-negeri dan
tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan negeri, maka Perkara 74
Perlembagaan Persekutuan telah menyebut tentang struktur pembahagian
kuasa perundangan antara Persekutuan dan negeri-negeri.
15.
Seiringan dengan peruntukan Perkara 74, Perlembagaan Persekutuan telah
mengadakan Jadual Kesembilan yang dibahagikan kepada tiga senarai utama,
iaitu Senarai I (Senarai Persekutuan), Senarai II (Senarai Negeri) dan
Senarai III (Senarai Bersama).
16. Apabila kita
merujuk Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, ianya menerangkan
bidang kuasa negeri-negeri berkaitan hal ehwal Islam adalah jelas dan
tidak dinafikan. Namun, negeri adalah terhad apabila tidak boleh
menggubal kesalahan dan hukuman mengenai perkara-perkara yang tersenarai
di bawah Senarai Persekutuan.
17. Oleh yang
demikian, Parlimen diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk menentukan
bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan kesalahan dan hukuman yang boleh
dibuat oleh Badan Perundangan Negeri untuk dilaksanakan di Mahkamah
Syariah.
18. Dengan kata lain, Parlimen boleh
membuat akta untuk menentukan bidang kuasa Dewan Perundangan Negeri
berkaitan hukuman-hukuman yang boleh dijatuhkan kepada Mahkmah Syariah
sebagaimana dijelaskan dalam Butiran 1.
19.
Secara telitinya, prinsip-prinsip yang termaktub dalam Butiran 1,
Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah :
1)
Terhad kepada umat Islam. Bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad hanya
kepada orang yang menganut agama Islam. Oleh itu orang bukan Islam tidak
perlu bimbang dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba
menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam.
2)
Terhad kepada perkara-perkara dalam Butiran 1; tidak termasuk
perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan dan perkara-perkara lain dalam
Senarai Negeri.
3) Tertakluk kepada had hukuman maksimum yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.
20.
Justeru itu, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Akta 355 adalah
sebuah akta yang sah dengan mengambil punca kuasa daripada Butiran 1,
Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
21.
Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) telah
diluluskan oleh Parlimen pada 3 Mac 1965 yang mulanya dikenali sebagai
Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act atau Akta Mahkamah Orang-orang
Islam (Bidang Kuasa Jenayah) dan hanya diberi bidang kuasa mengenai
kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM 1000 dan
penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
22.
Akta 355 ini merupakan suatu akta untuk memberi bidang kuasa kepada
mahkamah-mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang
Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah hukum
syarak.
23. Ketika Akta 355
dibentangkan pada tahun 1965, ahli parlimen yang membahaskan semuanya
ahli-ahli Parlimen Islam sahaja dan tiada bantahan pun dari Ahli
Parlimen bukan Islam walaupun ketika itu Lee Kuan Yew turut hadir
sebagai Ahli Parlimen sebelum pemisahan Singapura daripada Malaysia.
24.
Dalam perbahasan tersebut juga telah dibangkitkan supaya hukuman yang
diletakkan adalah tidak mutlak dan boleh dipinda atau ditambah. Bidang
kuasa yang dihadkan hanyalah permulaan dan ia adalah proses ke arah
kesempurnaan.
25. Bidang kuasa itu telah
ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah
Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan
penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM 5000 atau
rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu.
26.
Pada tahun 1988, Akta 1965 telah disemak semula dan diubah nama kepada
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
27.
Akta ini telah diperluaskan pemakaiannya ke negeri Sabah dan Sarawak
pada tahun 1989 melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
(Pindaan dan Perluasan). Ini adalah kerana pada ketika Akta itu digubal,
Mahkamah-mahkamah Syariah belum lagi dibentuk di kedua-dua negeri
tersebut. Oleh sebab itu, ahli-ahli Dewan Sabah dan Sarawak tidak perlu
risau kerana akta ini sudah terpakai di Sabah dan Sarawak sejak puluhan
tahun dan ianya adalah jelas tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan mahupun Perjanjian Malaysia 1963.
28.
Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui
Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 121 Perlembagaan
Persekutuan bagi menyelesaikan percanggahan antara Mahkamah Tinggi
dengan Mahkamah Syariah.
29. Selain itu juga,
Parlimen telah meminda Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dalam hal
penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah
Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret
hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang
hakim Mahkamah Syariah.
30. Oleh kerana itu
jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh
Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan, orang itu hendaklah dibawa ke
hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa
sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat
jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak
boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu.
Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah
Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret.
31.
Setelah hampir 32 tahun Akta 355 tidak dipinda, maka pada 26 Mei 2016
yang lalu, saya mengambil rasa tanggungjawab dan keberanian sebagai
seorang ahli Parlimen untuk mengemukakan “Usul untuk membuat Pindaan
Akta 355” mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1) demi menyahut seruan
fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan) dan mengisi
kekosongan yang ditinggalkan oleh parti-parti lain.
32.
Saya telah memohon kepada Tan Sri Yang Di-Pertua untuk ditangguhkan
perbahasan pada hari tersebut sehingga ke hari ini bagi memberi ruang
kepada ahli-ahli Dewan, tokoh-tokoh akademik, NGO-NGO, orang bukan Islam
dan seluruh rakyat Malaysia untuk membuat kajian terperinci dan
mengkaji berkenaan pindaan ini. Inilah sikap keterbukaan yang kami mahu
tunjukkan kepada ahli dewan dan rakyat. Inilah satu-satunya cadangan
pindaan akta yang dibahaskan secara terbuka disemua peringkat, diadakan
jelajah, dialog, forum, wacana dan perbincangan diperingkat rakyat
sebelum ianya dibentangkan dan dibahas dalam dewan yang mulia pada hari
ini. Sedangkan ratusan akta yang telah dipinda melalui perbahasan dalam
Dewan Rakyat tanpa melalui perbahasan awam malah tidak pun disedari oleh
masyarakat awam.
33. Ini menjelaskan bahawa
apa yang dibentangkan oleh saya pada hari ini, adalah tidak melalui
pintu belakang, tidak mempunyai maksud tersembunyi. Ianya adalah terang
benderang, ibarat bulan purnama mengambang penuh yang terbuka dilihat
oleh semua manusia yang matang dan sejahtera.
Tujuan pindaan
34.
Tujuan cadangan pindaan ini adalah untuk memperkasakan hukuman di
Mahkamah Syariah yang pada waktu ini adalah jauh lebih rendah dari
hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Sivil yang paling rendah
dalam negara kita. Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai
kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau
denda tidak lebih RM 5000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau
gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah daripada bidang
kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang
boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman
lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau
gabungannya.
35. Secara bandingannya dan contoh
untuk difahami oleh kita semua, perlindungan untuk keutuhan sistem
perkahwinan kepada umat Islam adalah lebih lemah berbanding perlindungan
untuk masyarakat bukan Islam. Misalnya dalam kes penipuan pendaftran
perkahwinan dan sindiket kahwin palsu, hukuman untuk kesalahan ini dalam
undang-undang untuk bukan Islam lebih tinggi iaiitu 10 tahun penjara
dan denda RM15,000 berdasarkan seksyen 40 Akta Pembaharuan Undang-undang
(Pernikahan dan Penceraian) 1976.
36. Selain
itu, jika hukuman terhadap kesalahan persetubuhan luar tabie dengan
haiwan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman
penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan maka hukuman 3 tahun
penjara, RM5000 denda dan 6 sebatan untuk kesalahan terhadap manusia adalah terlalu ringan.
37.
Dan terdapat juga kesalahan yang hampir sama di bawah Kanun Keseksaan
dan di bawah Enakmen Jenayah Syariah seperti kesalahan sumbang mahram,
kesalahan liwat, dan keterlibatan dalam pelacuran. Kadar hukuman di
bawah Kanun Keseksaan jauh lebih tinggi misalnya bagi kesalahan sumbang
mahram (incest) hukumannya ialah penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak
melebihi 30 tahun (Seksyen 376B Kanun Keseksaan).
38.
Hakikatnya Akta 355 ini sudah lama tidak dipinda iaitu sejak 1984,
hampir 32 tahun yang lalu. Institusi Mahkamah Syariah perlu dan
sewajarnya dimartabatkan sejajar Malaysia sebagai sebuah negara Islam
dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam adalah agama
persekutuan. Kedudukan mahkamah syariah sekarang merupakan suatu
penghinaan kepada undang-undang dan institusi syariah.
39.
Ada pula di luar sana pihak-pihak yang meremehkan cadangan meningkatkan
hukuman sebagai salah satu cara untuk memerkasakan mahkamah syariah
dalam negara kita. Di sinilah kita sebagai Ahli Dewan perlu untuk
memahami proses perundangan melalui Dewan yang mulia ini, berbanding
dengan kaedah pemerkasaan yang boleh dilaksanakan tanpa melalui proses
perundangan dari Dewan ini.
40. Sememangnya ada
berbagai langkah dan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan
kedudukan mahkamah syariah dalam negara kita ini. Semuanya boleh
dilakukan secara serentak dan boleh terus dilaksanakan sekarang oleh
pihak kerajaan secara eksekutif oleh pihak yang berkuasa melalui kuasa
yang diperuntukkan kepada agensi yang dipertanggungjawabkan.
41.
Antara yang boleh dilaksanakan sekarang ini tanpa usul persendirian
ialah: (1) memperkemaskan prosedur siasatan – pendakwaan – pembelaan
supaya lebih efisien dan adil, (2) melengkapkan infrastruktur fizikal
kompleks mahkamah dan susun-aturnya di berbagai peringkat, (3)
memberikan latihan perundangan yang lebih terancang kepada semua lapisan
Yang Arif Hakim dan kakitangan mahkamah sesuai dengan perkembangan
semasa yang pantas, (4) menambahkan peruntukan kewangan dan tenaga
manusia supaya kes-kes perundangan boleh dikendalikan dengan cepat; dan
sebagainya.
42. Saya tegaskan sekali lagi
bahawa semua langkah – langkah di atas boleh terus dilaksanakan oleh
pihak eksekutif di agensi yang berkenaan sekiranya dipersetujui oleh
pihak Kerajaan dalam negara kita, tanpa perlu kepada satu cadangan rang
undang – undang baharu diperkenalkan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
43.
Akta 355 yang berkuatkuasa sekarang adalah terhad kepada bidang kuasa
jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan
kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum tidak melebihi 3 tahun atau
apa-apa denda tidak melebihi RM5000 atau sebat tidak melebihi 6 kali
atau apa-apa cantumannya seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Akta
asal yang ada pada masa ini adalah seperti berikut :
Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.
Mahkamah
Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana
undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas
orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana
perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri
dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan
ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap
rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut
yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:
Dengan
syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan
berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama
tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau
sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman
tersebut.
44. Pindaan yang saya cadangkan pula
adalah terhadap provisio, di mana Akta 355 yang dicadangkan dipinda akan
berbunyi seperti berikut :
Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.
Mahkamah
Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana
undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas
orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana
perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri
dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan
ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap
rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut
yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis :
Dengan
syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan
berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama
tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu
ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana di tadbir selaras
dengan tatacara jenayah Syariah atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman
tersebut.
Implikasi pindaan
45.
Cadangan pindaan ini tidak akan mengubah atau menambah kuasa Dewan
Perundangan Negeri berkaitan jenis-jenis kesalahan. Kuasa dan bidang
kuasa Dewan Perundangan Negeri berkaitan jenis kesalahan adalah kekal
seumpama sedia ada, yang mana Dewan Perundangan Negeri hanya boleh
membuat hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang berkaitan perintah
agama Islam, tetapi tidak boleh membuat hukuman atas kesalahan-kesalahan
yang berkaitan dengan perkara-perkara yang ada dalam Senarai
Persekutuan. Akta 355 itu sendiri pada asalnya bukan berkaitan kuasa
Dewan Perudangan Negeri mengenai jenis kesalahan.
46.
Jika pindaan terhadap provisio dalam Akta 355 diluluskan di Parlimen,
ia tidak meningkatkan kadar hukuman secara automatic, sebaliknya Dewan
Undangan Negeri (DUN) bagi setiap negeri perlu meluluskan had hukuman
bagi setiap kesalahan di peringkat negeri-negeri terlebih dahulu.
Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih
terbuka di peringkat DUN, itupun sekiranya pihak berkuasa di Negeri
ingin mempertimbangkan perubahan kuantum hukuman kesalahan di bawah
senarai negeri.
47. Dewan Perundangan Negeri
dalam masa yang sama boleh meletakkan jenis hukuman yang mendidik dan
lebih ringan daripada pemenjaraan atau lebih rendah daripada sebatan,
seperti parol, amaran keras dan seumpamanya.
48.
Akta ini juga tidak menimbulkan implikasi ketidaksamarataan sama
sekali. Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan sememangnya menegaskan
semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Kesamarataan tersebut
hanya merujuk kepada kategori atau “genre” yang sama, sebagai contoh,
Islam dan bukan Islam adalah bukan kategori atau genre yang sama tetapi
kategori yang sama ialah hukuman yang berlainan kepada 2 kumpulan orang
Islam. Walaubagaimanapun, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan juga
dengan jelas membenarkan pengecualian kepada peruntukan kewujudan
undang-undang lain dalam Perlembagaan Persekutuan, ini termasuklah Akta
355.
49. Manakala untuk memahami rasional
kuantum hukuman yang dicadangkan dalam pindaan ini, ianya adalah
berasaskan hasrat yang melibatkan pemerkasaan bidangkuasa hukuman
Mahkamah Syariah agar ia setanding dengan bidangkuasa Mahkamah Sesyen
(bagi Mahkamah Sivil).
50. Maka saya
mencadangkan penjara maksimum sehingga 30 tahun, di mana tempoh 30 tahun
adalah bersamaan dengan hukuman Penjara Seumur Hidup (Imprisonment For
Life) bagi Mahkamah Sivil, iaitu sebagaimana yang ditafsirkan oleh
Seksyen 3 Criminal Justice Act, “Hukuman Penjara Seumur Hidup adalah
bersamaan dengan hukuman Penjara 30 tahun”. Bahkan di bawah Akta Senjata
Api “Imprisonment For Life” boleh membawa maksud Penjara Sampai Mati.
Hukuman “sumbang mahram” pula sebagaimana yang disebut dalam Akta 574
Kanun Keseksaan, perkara 376B boleh membawa hukuman penjara maksima 30
tahun jika sabit kesalahan.
9
51.
Kuantum denda RM100,000 yang dicadangkan pula adalah mengambil kira
perubahan nilai matawang selepas 32 tahun akta ini tidak dipinda. Jumlah
RM5000k pada tahun 1985 (tahun pindaan nilai denda) adalah satu jumlah
yang subtantial pada masa itu, jika dinisbah kepada jenis-jenis
kesalahan yang boleh dihukum denda di bawah bidangkuasa Mahkamah
Syariah. Justeru jumlah maksimum RM100,000 yang dicadangkan kini adalah
mengambil kira perubahan nilai matawang dinisbahkan dengan jenis-jenis
kesalahan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, agar ia dapat
menggabungkan elemen untuk memberi pengajaran dan menggerunkan pesalah
serta masyarakat awam. Tambahan pula, jumlah maksimum RM100,000 ini
adalah jauh lebih rendah daripada bidangkuasa Mahkamah Sesyen Sivil yang
diberi kuasa mengenakan denda tanpa had, bahkan sehingga mencecah
jutaan ringggit, tertakluk kepada peruntukan spesifik di bawah Akta-Akta
yang berkaitan.
Kekeliruan dan kebimbangan yang ditimbulkan
Kekeliruan pertama : Kononnya RUU Pindaan 355 adalah Hudud
52.
Walaupun berkali-kali saya menjelaskan bahawa cadangan pindaan ini
tiada kaitan dengan Hudud, tetapi nampaknya ada lagi individu dan parti
parti politik tertentu dalam negara ini yang tidak cuba memahami, atau
buat-buat tak faham, atau sengaja tidak mahu faham. Saya ingin
menegaskan lagi bahawa hukuman potong tangan dan rejam tidak boleh
dikenakan malah tidak termasuk dalam kesalahan yang boleh dihukum dengan
hukuman seperti ini, kerana ianya bukan dalam kuasa dan bidang kuasa
Dewan Undangan Negeri.
53. Di masa yang sama,
wujud pula kategori ekstrimis media atau pelampau media yang menabur
pembohongan dan sentiasa mengulang-ngulang tajuk pemberitaan yang
songsang dengan berita asal, dan mengubah apa yang diperkatakan mengikut
selera mereka. Semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah, tanpa
tanggungjawab, seolah – olah mereka bebas berbohong sesuka hati, seolah
tidak tanggungjawab dosa-pahala dalam tindakan ganas mereka.
54.
Kita sama – sama tahu bahawa semuanya dusta songsang ini dilakukan
supaya medianya sensasi dan laku di pasaran media. Kepada pengamal media
dan media sosial beragama Islam, termasuklah pelampau papan-kunci, suka
saya memperingatkan bahawa kita mempunyai perkiraan dosa-pahala dan
pembalasan di hari Akhirat yang tidak terperi hukumannya. Kecualilah ada
di antara kita yang merasa cerdik, hebat dan kuat untuk berdepan dengan
kemurkaan Tuhan Rabbul Jalil di Hari Pembalasan Nya nanti.
55.
Bagi menjelaskan kepada kalangan yang benar-benar ingin memahami, suka
saya mengambil peluang ini untuk menjelaskan apakah sebenarnya hukum
hudud itu. Hukum Islam ada tiga kategori iaitu hukum hudud, qisas dan
takzir.
56. Hudud merangkumi
kesalahan yang dinyatakan dalam al- Quran dan as-Sunnah, dan dijelaskan
oleh para ilmuan Islam sepanjang zaman sebagai kesalahan jenayah: (1)
mencuri (2) merompak (3) berzina (4) menuduh zina (5) Minum arak
(6) murtad.
57.
Pada masa sekarang ini, semua kesalahan hudud dalam kategori (1)
mencuri (2) merompakadalah berada dalam Kanun Keseksaan iaitu bidang
kuasa Mahkamah Sivil.
58. Manakala kesalahan
(3) berzina (4) menuduh zina (5) Minum arak (6) murtad sudah puluhan
tahun diamalkan dibawah undang undang syariah di negeri masing masing
(Senarai Negeri Jadual Kesembilan) dan sememangnya hanya diguna serta
terpakai kepada orang Islam sahaja. Ini bukan perkara baru, kecuali akal
fikiran kita tidak mahu sedar dan insaf.
59.
Apa yang dicadangkan untuk diperkasakan peranan Mahkamah Syariah melalui
pindaan ini adalah hanya terhadap kesalahan yang di bawah bidang kuasa
negeri sahaja, iaitu untuk kesalahan (3) berzina (4) menuduh zina (5)
minum arak (6) murtad.
60. Secara jelasnya, apa
yang dicadangkan ialah untuk meningkatkan jumlah hukuman supaya selari
dengan syariat Islam supaya jumlah hukuman pada masa ini yang hanya
tertakluk kepada maksima 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali
sebatan; dapatlah dipertingkatkan kepada jumlah hukuman penjara yang
lebih tinggi (ditentukan dan dikanun di negeri masing masing nanti) dan
denda yang lebih munasabah, serta rotan mengikut syariat Islam dengan
syarat dan jumlah sebatan yang lebih menepati syariat Islam.
61.
Rotan mengikut syariat Islam pula adalah sangat berbeza dengan “rotan
hukuman sivil”. Rotan mengikut syariat Islam adalah TIDAK BOLEH
mencederakan,
TIDAK BOLEH dilakukan hingga
kulit terkoyak atau berdarah, pukulan sebat hendaklah di merata-rata
anggota tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan. Pukulan sebat
hendaklah dengan cara yang sederhana, di mana orang yang menyebat tidak
boleh mengangkat rotan hingga ke paras kepalanya. Semuanya dilakukan
dalam keadaan pesalah hendaklah berdiri bagi lelaki dan duduk bagi
perempuan, serta memakai pakaian nipis yang menutup auratnya mengikut
Hukum Syarak.
Kekeliruan kedua : Melibatkan orang bukan Islam
62.
RUU Pindaan 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya
menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan
al-Quran dan As-Sunnah termasuklah dalam hubungan masyarakat majmuk di
Malaysia.
63. Walaupun kewujudan masyarakat
majmuk di negara kita adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi
menjayakan agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului
petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep
kemanusiaan sejagat. Firman Allah SWT:
َ َ
يأيهاٱنلاسُُإناُخلقنكمُمِنُ ذكرُوأنَثُوجعلنكمُشعوباُ وقبائلُِِلعارفوْۚاُإنُأكرمكمُ
ِعندُٱّللُُِأتقىكمُإنُٱّللُُعِ ليمُخبريُ١٣ُ ُ
ِْۚ ِ
“Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia -mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih
taqwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan
kamu)”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)
64. Kita
diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam
masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan
dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci.
َ َ Firman Allah SWT:
َٓ
۞وَلُتجِدلواُأهلُٱلِكتبُُإَلُ بُٱلتُُِِهُأحسنُإَلُٱَّلِينُُ ظلمواُمنُهمُِۖۡوقولواُءامناُبُ ٱَّلِيَُُ َ
أنزلُإَلناُوأنزلُإَلكمُِإَ ولهناُِإَولهكمُوِحدُوَننُلُۥُ مسِلمونُ٤٦ُ ُ
ِ ِ
“Dan
janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang
lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan
katakanlah (kepada mereka ): Kami beriman kepada (al-Quran) yang
diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu
dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu , adalah Satu dan kepadaNyalah, kami
patuh dengan berserah
diri.” (Surah Al-Ankabut: ayat 46)
65.
Saya mengajak semua pihak agar melihat Islam secara langsung daripada
sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat.
Bukannya budaya ISIS dan DAESH berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti
yang dipaparkan oleh
Barat dan pelampau medianya yang
merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi.Jangan zalimi
Islam dan penganutnya sehingga melangkah
sempadan.
66. Izinkanlah saya membuat kesimpulan dengan bahasa yang paling mudah dan terbuka, bahawa:
(1)
Cadangan ini bukanlah satu hukum hudud, dan bukan satu jalan belakang
untuk melaksanakan hukum hudud, dan bukan juga satu cubaan untuk
mengelirukan mana-mana pihak apatah lagi anggota Dewan yang mulia ini;
(2)
Cadangan pindaan ini juga hanyalah terpakai kepada penganut Islam
sahaja dalam negara kita sebagaimana kewujudan dwi-sistem mahkamah
syariah dan
mahkamah sivil sejak ratusan tahun lalu;
Pindaan
ini sekali-kali tidak menyebabkan berlaku perlanggaran kuasa – kuasa
mahkamah sivil oleh mahkamah syariah, sekaligus menjelaskan ianya tidak
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Sekian, terima kasih