Saturday, November 16, 2024
10,000 LANGKAH PROGRAM KEMBARA MADANI AFIAT NEGERI SARAWAK 2024
Wednesday, November 13, 2024
PENYAKIT HASAD SESAMA MANUSIA
Penyakit Dengki Sesama Manusia
1. Penyakit dengki mempunyai jalur sejarah yang paling panjang. Ia bermula sejak kejadian manusia yang pertama lagi apabila Iblis menzahirkan sifat dengkinya kepada Nabi Adam. Sifat tersebut menjadikan Iblis dilaknat oleh Allah.
2. Kemudian penyakit ini mula meresapi jiwa anak-anak Adam apabila Qabil dan Habil, bertelagah atas kurniaan yang diberikan kepada mereka sehingga membawa kepada berbunuhan. Insiden yang hampir sama menimpa Nabi Yusuf yang juga hampir-hampir dibunuh.
3. Punca penyakit dengki ini datang setelah manusia melihat nikmat yang dikurniakan kepada orang lain. Kata Umar al-Khattab:
ما كانت نعمة الله على أحد إلا وَجَدَ لها حاسدًا
“Tiada satu nikmat yang Allah kurniakan ke atas seseorang melainkan akan ada orang yang dengki.”
4. Oleh yang demikian, Nabi Ya’qub mendidik Nabi Yusuf agar tidak menceritakan semua nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah:
قَالَ يَا بُنَيَّ لَا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَىٰ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah Yusuf: 5)
5. Ketika menghuraikan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa adakalanya nikmat yang dikurniakan kepada kita perlu untuk tidak ditayangkan, apatah lagi diceritakan kepada orang ramai kerana ia berupaya menimbulkan reaksi yang tidak dijangka. Kata al-Tantawi:
أنه يجوز للإنسان فى بعض الأوقات أن يخفى بعض النعم التى أنعم الله بها عليه ، خشية حسد الحاسدين ، أو عدوان المعتدين
“Sesungguhnya harus bagi seorang insan itu dalam sesetengah keadaan untuk menyembunyikan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, kerana bimbang (nikmat tersebut berupaya) menimbulkan hasad dengki atau permusuhan dari orang yang memusuhi.” (Tafsir al-Wasit)
6. Bacakan juga pada waktu pagi dan petang doa yang diajar oleh Rasulullah agar kita dilindungi dari segala kejahatan penyakit dengki iaitu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”
*Semoga Allah membimbing kita.*
Kredit :
*Dr. Ahmad Sanusi Azmi*